BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, December 6, 2009

Seronok Belajar

Mewujudkan Suasana Seronok Belajar

Pembelajaran yang berkesan ialah pembelajaran yang menyeronokkan. Apabila keseronokan dirasai, segala keletihan, kerisauan atau kebosanan terhadap pelajaran dapat diatasi.

Oleh itu setiap murid haruslah bersedia agar diri mereka berada dalam keadaan yang seronok terutamanya ketika belajar. Bagaimanakah caranya untuk mewujudkan keseronokan pada diri ketika belajar?

Kekemasan: Pakaian yang kemas, rambut yang terurus, susunan buku yang baik

Caranya: Pastikan pakaian sekolah berada dalam keadaan bersih, kasut tidak kotor, rambut lelaki digunting dengan baik, rambut perempuan diurus dengan kemas serta bertudung, buku yang dibawa ke sekolah berada dalam keadaan yang baik tidak terkoyak dan mudah diambil apabila diperlukan.

Kesihatan: Diri yang sihat tanpa penyakit, keadaan bilik darjah yang bersih.

Caranya: Pastikan murid membersih diri setiap hari. Pastikan kawasan bilik darjah dan sekolah bebas daripada wabak penyakit. Adakan senarai tugas untuk membersih kawasan bilik darjah masing-masing. Guna tandas dengan baik. Jangan makan makanan yang tercemar atau terdedah.

Tingkahlaku/budi bahasa: Cara berbual dengan guru dan rakan. Tidak melanggari peraturan sekolah. Tidak ponteng sekolah.

Caranya: Perlu menghormati guru serta patuh segala arahan terutama apabila guru memberi tugasan kepada murid. Rakan juga harus dihormati. Jangan bergurau sehinggakan menyakiti hati rakan dan berakhir dengan perkelahian. Rajin ke sekolah, jangan terpengaruh dengan remaja luar yang ponteng sekolah.

Minda sihat: Mampu menggunakan fikiran ketika belajar

Caranya: Sentiasa berfikir sewaktu belajar. Banyak berinteraksi dengan guru dan rakan. Banyak membuat latihan.

Jiwa tenang: Menumpukan sepenuh perhatian ketika belajar.

Caranya: Tidak menaruh rasa benci, marah, iri hati terhadap rakan atau guru. Sentiasa bersyukur di atas keselesaan yang dirasai. Sentiasa muhasabah diri untuk mengelak rasa bongkak dan sombong.

Cara-cara yang dinyatakan mampu menjadikan bilik darjah itu sebagai “rumah kedua” untuk murid-murid. Apabila diri dan bilik darjah dalam keadaan yang selesa maka pembelajaran dapat berlaku dengan baik. Tidak ada rasa bosan di jiwa kita malah ada pula murid yang suka datang ke sekolah untuk belajar walaupun pada waktu petang atau pada hari cuti hujung minggu.


UJI KREATIVITI ANDA!

Sediakan satu poster yang mengandungi langkah-langkah mewujudkan keseronokan belajar. Anda boleh menciptanya dengan menggunakan sebarang perisian berbantukan komputer yang sesuai atau melalui lakaran tulisan tangan. Sisipkan juga gambar/lukisan/lakaran untuk dijadikan hiasan pada poster anda. Lekatkan di papan pamer kelas anda.

Sumber

Saturday, December 5, 2009

JANGAN MENYIKSA DIRI

Allah s.w.t. menciptakan dunia seisinya untuk kemudahan manusia itu sendiri, oleh itu hendaklah manusia memanfaatkannya.

Sahabat Anas menceritakan bahawa satu hari Rasulullah s.a.w melihat seorang yang dipapah oleh kedua orang anaknya menunaikan haji dengan berjalan kaki. Apabila melihat keadan itu maka Baginda s.a.w. bertanya, "Mengapa dengan orang ini?" Dua anak itu berkata, "Dia bernazar hendak menunaikan hai dengan berjalan kaki." Rasulullah s.a.w berkata, "Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak memerlukan orang yang menyiksakan dirinya." Ketika itu juga Rasulullah memerintahkan kepada orang itu agar naik kenderaan untuk menunaikan haji.

Dalam satu peristiwa lain, seseorang menziarahi tuan gurunya yang sudah lama berpisah, dia berjalan kaki beberapa batu ke rumah gurunya dengan maksud untuk mendapat pahala yang lebih. Setiba di rumah gurunya itu, tuan guru itu bertanya, "Kamu datang dengan apa?" Anak murid itu berkata, "Saya berjalan kaki." Apabila tuan guru itu mendengar jawapan anak muridnya itu dia berkata : "Dia telah menciptakan kuda, baghal dan keldai agar kamu mengenderainya."

DIPOTONG TANGAN KERANA MEMBERI SEDEKAH

Dikisahkan bahawa semasa berlakunya kekurangan makanan dalam kalangan Bani Israel, maka lalulah seorang fakir menghampiri rumah seorang kaya dengan berkata, "Sedekahlah kamu kepadaku dengan sepotong roti dengan ikhlas kerana Allah s.w.t."

Setelah fakir miskin itu berkata demikian maka keluarlah anak gadis orang kaya, lalu memberikan roti yang masih panas kepadanya. Sebaik sahaja gadis itu memberikan roti tersebut maka keluarlah bapa gadis tersebut yang bakhil itu terus memotong tangan kanan anak gadisnya sehingga putus. Semenjak dari peristiwa itu maka Allah s.w.t pun mengubah kehidupan orang kaya itu dengan menarik kembali harta kekayaannya sehingga dia menjadi seorang yang fakir miskin dan akhirnya dia meninggal dunia dalam keadaan yang paling hina.


Anak gadis itu menjadi pengemis dan meminta-minta dari satu rumah ke rumah. Maka pada suatu hari anak gadis itu menghampiri rumah seorang kaya sambil meminta sedekah, maka keluarlah seorang ibu dari rumah tersebut. Ibu tersebut sangat kagum dengan kecantikannya dan mempelawa anak gadis itu masuk ke rumahnya. Ibu itu sangat tertarik dengan gadis tersebut dan dia berhajat untuk mengahwinkan anaknya dengan gadis tersebut. Maka setelah perkahwinan itu selesai, maka si ibu itu pun memberikan pakaian dan perhiasan bagi menggantikan pakaiannya.

Pada suatu malam apabila sudah dihidang makanan malam, maka si suami hendak makan bersamanya. Oleh kerana anak gadis itu kudung tangannya dan suaminya juga tidak tahu bahawa dia itu kudung, manakala ibunya juga telah merahsiakan tentang tangan gadis tersebut. Maka apabila suaminya menyuruh dia makan, lalu dia makan dengan tangan kiri. Apabila suaminya melihat keadaan isterinya itu dia pun berkata, "Aku mendapat tahu bahawa orang fakir tidak tahu dalam tatacara harian, oleh itu makanlah dengan tangan kanan dan bukan dengan tangan kiri."

Setelah si suami berkata demikian, maka isterinya itu tetap makan dengan tangan kiri, walaupun suaminya berulang kali memberitahunya. Dengan tiba-tiba terdengar suara dari sebelah pintu, "Keluarkanlah tangan kananmu itu wahai hamba Allah, sesungguhnya kamu telah mendermakan sepotong roti dengan ikhlas kerana Ku, maka tidak ada halangan bagi-Ku memberikan kembali akan tangan kananmu itu."

Setelah gadis itu mendengar suara tersebut, maka dia pun mengeluarkan tangan kanannya, dan dia mendapati tangan kanannya berada dalam keadaan asalnya, dan dia pun makan bersama suaminya dengan menggunakan tangan kanan. Hendaklah kita sentiasa menghormati tetamu kita, walaupun dia fakir miskin apabila dia telah datang ke rumah kita maka sesungguhnya dia adalah tetamu kita. Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa menghormati tetamu, maka sesungguhnya dia telah menghormatiku, dan barangsiapa menghormatiku, maka sesungguhnya dia telah memuliakan Allah s.w.t. Dan barangsiapa telah menjadi kemarahan tetamu, dia telah menjadi kemarahanku. Dan barangsiapa menjadikan kemarahanku, sesungguhnya dia telah menjadikan murka Allah s.w.t."

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, "Sesungguhnya tetamu itu apabila dia datang ke rumah seseorang mukmin itu, maka dia masuk bersama dengan seribu berkah dan seribu rahmat."

ANTARA SABAR DAN MENGELUH

Pada zaman dahulu ada seorang yang bernama Abul Hassan yang pergi haji di Baitul Haram. Diwaktu tawaf tiba-tiba ia melihat seorang wanita yang bersinar dan berseri wajahnya. "Demi Allah, belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu, tidak lain kerana itu pasti kerana tidak pernah risau dan bersedih hati." Tiba-tiba wanita itu mendengar ucapan Abul Hassan lalu ia bertanya, "Apakah katamu hai saudaraku ? Demi Allah aku tetap terbelenggu oleh perasaan dukacita dan luka hati kerana risau, dan seorang pun yang menyekutuinya aku dalam hal ini."


Abu Hassan bertanya, "Bagaimana hal yang merisaukanmu ?" Wanita itu menjawab, "Pada suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban, dan pada aku mempunyai dua orang anak yang sudah boleh bermain dan yang satu masih menyusu, dan ketika aku bangun untuk membuat makanan, tiba-tiba anakku yang agak besar berkata pada adiknya, "Hai adikku, sukakah aku tunjukkan padamu bagaimana ayah menyembelih kambing ?" Jawab adiknya, "Baiklah kalau begitu ?"


Lalu disuruh adiknya baring dan disembelihkannya leher adiknya itu. Kemudian dia merasa ketakutan setelah melihat darah memancut keluar dan lari ke bukit yang mana di sana ia dimakan oleh serigala, lalu ayahnya pergi mencari anaknya itu sehingga mati kehausan dan ketika aku letakkan bayiku untuk keluar mencari suamiku, tiba-tiba bayiku merangkak menuju ke periuk yang berisi air panas, ditariknya periuk tersebut dan tumpahlah air panas terkena ke badannya habis melecur kulit badannya.

Berita ini terdengar kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di daerah lain, maka ia jatuh pengsan hingga sampai menuju ajalnya. Dan kini aku tinggal sebatang kara di antara mereka semua."

Lalu Abul Hassan bertanya, "Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu ?" Wanita itu menjawab, "Tiada seorang pun yang dapat membedakan antara sabar dengan mengeluh melainkan ia menemukan di antara keduanya ada jalan yang berbeda. Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal itu baik dan terpuji akibatnya. Dan adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka."

Demikianlah cerita di atas, satu cerita yang dapat dijadikan tauladan di mana kesabaran sangat digalakkan oleh agama dan harus dimiliki oleh setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah s.w.t. dalam setiap terkena musibah dan dugaan dari Allah. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda dalam firman Allah s.w.t. dalam sebuah hadith Qudsi,:
"Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang Mukmin, jika Aku ambil kekasihnya dari ahli dunia kemudian ia sabar, melainkan syurga baginya."

Begitu juga mengeluh. Perbuatan ini sangat dikutuk oleh agama dan hukumnya haram. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda,:
" Tiga macam daripada tanda kekafiran terhadap Allah, merobek baju, mengeluh dan menghina nasab orang."
Dan sabda Rasulullah s.a.w pula, " Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliyyah, dan orang yang mengeluh, jika ia mati sebelum taubat, maka Allah akan memotongnya bagi pakaian dari wap api neraka." (Riwayat oleh Imam Majah)
Semoga kita dijadikan sebagai hamba Tuhan yang sabar dalam menghadapi segala musibah.

PERBUALAN ANTARA RASULULLAH S.A.W DENGAN IBLIS

Telah diceritakan bahawa Allah s.w.t. telah menyuruh iblis laknatullah datang kepada Nabi Muhammad s.a.w agar menjawab segala pertanyaan yang baginda tanyakan padanya. Pada suatu hari Iblis laknatullah pun datang kepada Baginda s.a.w. dengan menyerupai orang tua yang baik lagi bersih, sedang ditangannya memegang tongkat.

Bertanya Rasulullah s.a.w, "Siapakah kamu ini ?"
Orang tua itu menjawab, "Aku adalah iblis."
"Apa maksud kamu datang berjumpa aku ?"
Orang tua itu menjawab, "Allah menyuruhku datang kepadamu agar kau bertanyakan kepadaku."

Baginda Rasulullah s.a.w lalu bertanya, "Hai iblis, berapa banyakkah musuhmu dari kalangan umat-umatku ?"
Iblis menjawab, "Lima belas."

1. Engkau sendiri hai Muhammad.
2. Imam dan pemimpin yang adil.
3. Orang kaya yang merendah diri.
4. Pedagang yang jujur dan amanah.
5. Orang alim yang mengerjakan solat dengan khusyuk.
6. Orang Mukmin yang memberi nasihat.
7. Orang yang Mukmin yang berkasih-sayang.
8. Orang yang tetap dan cepat bertaubat.
9 Orang yang menjauhkan diri dari segala yang haram.
10. Orang Mukmin yang selalu dalam keadaan suci.
11. Orang Mukmin yang banyak bersedekah dan berderma.
12. Orang Mukmin yang baik budi dan akhlaknya.
13. Orang Mukmin yang bermanfaat kepada orang.
14. Orang yang hafal al-Quran serta selalu membacanya.
15. Orang yang berdiri melakukan solat di waktu malam sedang orang-orang lain semuanya tidur.


Kemudian Rasulullah s.a.w bertanya lagi, "Berapa banyakkah temanmu di kalangan umatku ?"
Jawab iblis laknatullah, "Sepuluh golongan :-

1. Hakim yang tidak adil.
2. Orang kaya yang sombong.
3. Pedagang yang khianat.
4. Orang pemabuk/peminum arak.
5. Orang yang memutuskan tali persaudaraan.
6. Pemilik harta riba'.
7. Pemakan harta anak yatim.
8. Orang yang selalu lengah dalam mengerjakan solat/sering meninggalkan solat.
9. Orang yang enggan memberikan zakat/kedekut.
10. Orang yang selalu berangan-angan dan khayal dengan tidak ada faedah.

Mereka semua itu adalah sahabat-sahabatku yang setia."
Itulah di antara perbualan Nabi dan iblis laknatullah. Sememangnya kita maklum bahawa sesungguhnya Iblis laknatullah itu adalah musuh Allah s.w.t. dan manusia. Dari itu hendaklah kita selalu berhati-hati jangan sampai kita menjadi kawan iblis laknatullah, kerana sesiapa yang menjadi kawan iblis laknatullah bermakna menjadi musuh Allah s.w.t.. Demikianlah sebaliknya, sesiapa yang menjadi musuh iblis laknatullah bererti menjadi kawan kekasih Allah s.w.t..

KESABARAN SEORANG PEREMPUAN YANG DIRASUK

Ata' bin Abi rabah berkata, Ibnu Abbas r.a telah bertanya kepadanya, "Mahukah aku tunjukkan kepada engkau seorang perempuan ahli syurga ?" Jawab Ata, "Bahkan, siapakah perempuan itu ?" Ibnu Abbas berkata, "Perempuan hitam itu telah menemui Rasulullah s.a.w mengadu ia telah dirasuk." Sabda Rasulullah s.a.w kepada perempuan itu, "Jika engkau tahan dan sanggup bersabar maka syurga bagimu, sekiranya engkau tidak tahan dan tidak sanggup bersabar aku akan mendoakan engkau supaya engkau pulih segar."


Jawab perempuan itu, "Aku tahan dan sanggup bersabar (maka baginya syurga)" Sekian tercatit dalam kitab sahih Bukhari dan Muslim. Dari sini dapatlah kita satu keterangan, bahawa penyakit sarak atau rasukan bukanlah ia sesuatu yang baru tetapi telah diketahui sejak zaman berzaman dan zaman Nabi dan sahabat.

KISAH ASAL USUL BEKAS TAPAK KAKI NABI IBRAHIM A.S (MAQAM)

Setelah Nabi Ismail bersetuju untuk membantu Nabi Ibrahim membangunkan Kaabah, maka Nabi Ibrahim bersama dengan anaknya pun mula membina Kaabah setelah Allah s.w.t. menunjukkan kepada mereka tempat yang harus dibina Baitullah itu.

Ada dua riwayat yang mengatakan bahawa Allah s.w.t.meninggikan tapak Baitullah sebelum dibina oleh Nabi Ibrahim dan anaknya, tapak Baitullah tidak terkena bala bencana taufan sewaktu taufan besar melanda. Satu riwayat lagi mengatakan bahawa tapak Baitullah itu telah runtuh dalam taufan besar sepertimana runtuhnya binaan-binaan besar yang lain. Setelah peristiwa taufan besar melanda maka sesungguhnya tidak ada orang lain yang mulakan pembinaannya semula kecuali Nabi Ibrahim dan anaknya.

Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail memulakan pembinaan Baitullah. Nabi Ibrahim menyusun naik batu sementara Nabi Ismail pula mengutip batu-batu besar seperti yang difirman oleh Allah s.w.t. yang bermaksud, "Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama anaknya Nabi Ismail meninggikan binaan (tapak) Baitullah (Kaabah) sambil keduanya berdoa dengan berkata, Wahai Tuhan kami! Terimalah, daripada kami amal kami sesungguhnya Engkau amat mendengar lagi Amat Mengetahui." (surah al-Baqarah ayat 127).

Apabila binaan sudah meninggi, Nabi Ismail, menghulurkan batu besar yang cukup tinggi dan diambil oleh Nabi Ibrahim dan membina Baitullah sehingga ia siap pembinaannya. Maka dengan kehendak Allah s.w.t. sebaik sahaja Nabi Ibrahim meletakkan kakinya di batu besar itu, maka terlekatlah tapak kaki Nabi Ibrahim sepertimana dapat kita melihatnya sehingga hari ini dekat Baitullah. Dan ini adalah suatu tanda kebesaran Allah s.w.t.
Apabila agama Islam datang, Allah s.w.t. mensyariatkan untuk bersembahyang di belakang maqam Ibrahim sepertimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "Dan jadikanlah oleh kamu maqam Ibrahim itu tempat sembahyang." (surah al-Baqarah ayat 125).

Yang dikatakan maqam Nabi Ibrahim itu adalah kedua belah bekas tapak kaki beliau dan bukan kubur Nabi Ibrahim.


Setelah selesai pembinaan Baitullah, maka Allah s.w.t. memerintahkan Nabi Ibrahim memberi kebenaran kepada umat manusia menunaikan haji di Baitullah. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "Dan serulah umat manusia untuk datang mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang ke (Rumah Allah)mu dengan berjalan kaki, dengan berkenderaan berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (ceruk rantau) yang jauh." (surah al-Haj ayat 27).

Setelah itu Nabi Ibrahim naik ke gunung (Jabal) Abi Qubais satu gunung yang paling dekat dengan baitullah dan di sana beliau memanggil dengan nama Allah s.w.t., "Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Tuhan kamu telah membina satu rumah-Nya bagi kamu, oleh itu hendaklah kamu semua tunaikan haji di sana." Nabi Ibrahim menyeru ke kanan dan ke kiri seolah-olah orang melaungkan azan. Allah s.w.t. menyampaikan seruan Nabi Ibrahim a.s pada setiap orang yang diciptakan dalam bacaan talbiah dan itulah pernyataan semua orang yang mengerjakan fardhu haji, kerana haji itu tidak akan sah tanpa talbiah.

Bacaan talbiah antara lainnya, "Labbaikallahhummalabbaik" yang bermakna, "Aku datang untuk menunaikan panggilan-Mu ya Allah." Menunaikan haji adalah salah satu rukun Islam, oleh itu hendaklah kita menunaikannya apabila kita sudah mampu melaksanakannya. Banyak orang menunaikan haji, tetapi sekembali mereka dari menunaikan haji yang sangat menyedihkan ialah terdapat juga orang yang melakukan maksiat lebih teruk dari masa sebelum menunaikan haji. Oleh itu, hendaklah kita mulakan dengan sembahyang, puasa, zakat dan seterusnya menunaikan haji.

Kalau kita menunaikan haji tanpa mengerjakan sembahyang lima waktu maka sia-sia sahaja haji yang kita lakukan sebab ia tidak akan diterima oleh Allah s.w.t. Dan ini adalah salah satu punca mereka yang kembali dari menunaikan haji melakukan bermacam-macam maksiat. Bagi mereka yang mendapat kenikmatan haji mereka ini tidak akan berani melakukan kerja-kerja yang dimurkai oleh Allah s.w.t. sebaliknya mereka akan berusaha untuk menjadi muslim yang sempurna. Tanpa mengerjakan sembahyang, maka semua kerja-kerja yang berbentuk amal, sedekah, zakat dan sebagainya semuanya itu tidak akan diterima oleh Allah s.w.t.

KISAH PERLAWANAN ANTARA SEORANG LELAKI DAN IBLIS

Suami isteri itu hidup tenteram mula-mula. Meskipun melarat, mereka taat kepada perintah Tuhan. Segala yang dilarang Allah s.w.t. dihindari, dan ibadah mereka tekun sekali. Si Suami adalah seorang yang alim yang taqwa dan tawakkal. Tetapi sudah beberapa lama isterinya mengeluh terhadap kemiskinan yang tiada habis-habisnya itu. Ia memaksa suaminya agar mencari jalan keluar.

Ia membayangkan alangkah senangnya hidup jika segala-galanya serba cukup. Pada suatu hari, lelaki yang alim itu berangkat ke ibu kota, mahu mencari pekerjaan. Di tengah perjalanan is melihat sebatang pohon besar yang tengah dikerumuni orang. Ia mendekat. Ternyata orang-orang itu sedang memuja-muja pohon yang konon keramat dan sakti itu. Banyak juga kaum wanita dan pedagang-pedagang yang meminta-minta agar suami mereka setia atau dagangnya laris.


"Ini syirik," fikir lelaki yang alim tadi. "Ini harus dibanteras habis. Masyarakat tidak boleh dibiarkan menyembah serta meminta selain Allah s.w.t.." Maka pulanglah dia terburu. Isterinya hairan, mengapa secepat itu suaminya kembali. Lebih hairan lagi waktu dilihatnya si suami mengambil sebilah kapak yang diasahnya tajam. Lantas lelaki alim tadi bergegas keluar. Isterinya bertanya tetapi ia tidak menjawab. Segera dinaiki keldainya dan dipacu cepat-cepat ke pohon itu. Sebelum sampai di tempat pohon itu berdiri, tiba-tiba melompat sesusuk tubuh tinggi besar dan hitam. Dia adalah iblis laknatullah yang menyerupai sebagai manusia.

"Hai, mahu ke mana kamu?" tanya si iblis laknatullah. Orang alim tersebut menjawab, "Saya mahu menuju ke pohon yang disembah-sembah orang bagaikan menyembah Allah s.w.t.. Saya sudah berjanji kepada Allah s.w.t. akan menebang roboh pohon syirik itu." "Kamu tidak ada apa-apa hubungan dengan pohon itu. Yang penting kamu tidak ikut-ikutan syirik seperti mereka. Sudah pulang sahaja." "Tidak boleh, kemungkaran mesti dibanteras," jawab si alim bersikap tegas."Berhenti, jangan teruskan!" bentak iblis laknatullah marah. "Akan saya teruskan!"

Kerana masing-masing tegas pada pendirian, akhirnya terjadilah perkelahian antara orang alim tadi dengan iblis laknatullah. Kalau melihat perbezaan badannya, seharusnya orang alim itu dengan mudah boleh dibinasakan. Namun ternyata iblis laknatullah menyerah kalah, meminta-minta ampun. Kemudian dengan berdiri menahan kesakita dia berkata, "Tuan, maafkanlah kekasaran saya. Saya tak akan berani lagi mengganggu tuan. Sekarang pulanglah. Saya berjanji, setiap pagi, apabila Tuan selesai menunaikan sembahyang Subuh, di bawah tikar sembahyang Tuan saya sediakan wang emas empat dinar. Pulang saja berburu, jangan teruskan niat Tuan itu dulu,"

Mendengar janji iblis laknatullah dengan wang emas empat dinar itu, lunturlah kekerasan tekad si alim tadi. Ia teringatkan isterinya yang hidup tidak berkecukupan. Ia teringat akan saban hari rungutan isterinya. Setiap pagi empat dinar, dalam sebulan sahaja dia sudah boleh menjadi orang kaya. Mengingatkan desakan-desakan isterinya itu maka pulanglah dia. Patah niatnya semula hendak membanteras kemungkaran.

Demikianlah, semejak pagi itu isterinya tidak pernah marah lagi. Hari pertama, ketika si alim selesai sembahyang, dibukanya tikar sembahyangnya. Betul di situ tergolek empat benda berkilat, empat dinar wang emas. Dia meloncat riang, isterinya gembira. Begitu juga hari yang kedua. Empat dinar emas. Ketika pada hari yang ketiga, matahari mulai terbit dan dia membuka tikar sembahyang, masih didapatinya wang itu. Tapi pada hari keempat dia mulai kecewa. Di bawah tikar sembahyangnya tidak ada apa-apa lagi keculai tikar pandan yang rapuh. Isterinya mulai marah kerana wang yang kelmarin sudah dihabiskan sama sekali.

Si alim dengan lesu menjawab, "Jangan khuatir, esok barangkali kita bakal dapat lapan dinar sekaligus." Keesokkan harinya, harap-harap cemas suami-isteri itu bangun pagi-pagi. Selesai sembahyang dibuka tikar sejadahnya kosong. "Kurang ajar. Penipu," teriak si isteri. "Ambil kapak, tebanglah pohon itu." "Ya, memang dia telah menipuku. Akan aku habiskan pohon itu semuanya hingga ke ranting dan daun-daunnya," sahut si alim itu. Maka segera ia mengeluarkan keldainya. Sambil membawa kapak yang tajam dia memacu keldainya menuju ke arah pohon yang syirik itu. Di tengah jalan iblis laknatullah yang berbadan tinggi besar tersebut sudah menghalang. Katanya menyorot tajam, "Mahu ke mana kamu?" herdiknya menggegar.

"Mahu menebang pohon," jawab si alim dengan gagah berani. "Berhenti, jangan lanjutkan." larang si iblis laknatullah "Bagaimanapun juga tidak boleh, sebelum pohon itu tumbang." jawab lelaki itu.


Maka terjadilah kembali perkelahian yang hebat. Tetapi kali ini bukan iblis laknatullah yang kalah, tapi si alim yang terkulai. Dalam kesakitan, si alim tadi bertanya penuh hairan, "Dengan kekuatan apa engkau dapat mengalahkan saya, padahal dulu engkau tidak berdaya sama sekali?" Iblis laknatullah itu dengan angkuh menjawab, "Tentu sahaja engkau dahulu boleh menang, kerana waktu itu engkau keluar rumah untuk Allah, demi Allah. Andaikata kukumpulkan seluruh belantaraku menyerangmu sekalipun, aku takkan mampu mengalahkanmu. Sekarang kamu keluar dari rumah hanya kerana tidak ada wang di bawah tikar sejadahmu. Maka biarpun kau keluarkan seluruh kebolehanmu, tidak mungkin kamu mampun menjatuhkan aku. Pulang saja. Kalau tidak, kupatahkan nanti batang lehermu."

Mendengar penjelasan iblis laknatullah ini si alim tadi termangu-mangu. Ia merasa bersalah, dan niatnya memang sudah tidak ikhlas kerana Allah s.w.t. lagi. Dengan terhuyung-hayang ia pulang ke rumahnya. Dibatalkan niat semula untuk menebang pohon itu. Ia sedar bahawa perjuangannya yang sekarang adalah tanpa keikhlasan kerana Allah s.w.t., dan ia sedar perjuangan yang semacam itu tidak akan menghasilkan apa-apa selain dari kesiaan yang berlanjutan. Sebab tujuannya adalah kerana harta benda, mengatasi keutamaan Allah s.w.t. dan agama. Bukankah bererti ia menyalahgunakan agama untuk kepentingan hawa nafsu semata-mata ?

"Barangsiapa di antaramu melihat sesuatu kemungkaran, hendaklah (berusaha) memperbaikinya dengan tangannya (kekuasaan), bila tidak mungkin hendaklah berusaha memperbaikinya dengan lidahnya (nasihat), bila tidak mungkin pula, hendaklah mengingkari dengan hatinya (tinggalkan). Itulah selemah-lemah iman."
Hadith Riwayat Muslim

KISAH DARI KITAB ALLAH S.W.T. YANG DAHULU

Suatu ketika Rasulullah s.a.w telah ditanya tentang suhuf yang diturunkan kepada suhuf Nabi Allah Musa a.s.

Rasulullah s.a.w berkata, "Sebahagian daripada kandungan suhuf Nabi Musa a.s :-

1. Aku hairan pada orang yang telah meyakinkan akan datangnya kematian (yakin dirinya akan mati dan ditanya tentang amalannya), tetapi mengapa mereka merasa seronok dan gembira di dunia (tidak membuat persediaan).

2. Aku hairan kepada orang yang telah meyakini akan adanya qadar (ketentuan) Allah s.w.t., tetapi mengapa mereka marah-marah (bila sesuatu musibah menimpa dirinya).

3. Aku hairan pada orang yang telah meyakini akan adanya hisab (hari pengiraan amal baik dan buruk), tetapi mengapa mereka tidak berbuat kebaikan?"

Rasulullah s.a.w ditanya pula tentang sebahagian daripada kitab Taurat, Nabi berkata, "Antara kandungannya ialah :-

1. Wahai anak Adam, janganlah kau merasa khuatir akan kekuasaan (pangkat), selagi kekuasaanKu kekal abadi iaitu tidak akan hilang selamanya.

2. Wahai anak Adam, sesungguhnya Kami menciptakan kamu adalah untuk beribadah kepadaKu, maka dari itu janganlah kamu mensia-siakan (menghabiskan masamu untuk berhibur sahaja).

3. Wahai anak Adam, Kami tidak mengira akan amalanmu yang akan dilakukan esok, oleh itu janganlah kamu cemas akan rezekimu untuk esok.

4. Wahai anak Adam, sesungguhnya bagi kamu ada kewajipan dan ketentuan rezeki, sekalipun kamu mengabaikan kewajipanmu terhadapKu, namun Aku tidak akan mengabaikan rezeki yang telah ditentukan untukmu.

5. Wahai anak Adam, sesungguhnya jika kamu redha pada apa-apa yang telah aku berikan kepadamu, maka kamu akan merasakan bahagia zahir dan batin. Tetapi jika kamu tidak redha dengan apa-apa yang telah Aku berikan itu, maka kamu akan dikuasai oleh dunia sehingga kamu akan melompat-lompat dan melenting kepanasan di padang pasir yang panas. Demi Keagungan dan KemuliaanKu, ketika itu pun kau tidak akan memperolehi apa-apa selain yang telah aku tetapkan, malahan engkau termasuk di dalam golongan orang yang tercela di sisiKu."

RAHSIA KHUSYUK DALAM SEMBAHYANG

Seorang ahli ibadah bernama Isam bin Yusuf, dia sangat warak dan sangat khusyuk solatnya. Namun dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasakan kurang khusyuk.

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Isam dan bertanya : "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?" Hatim berkata : "Apabila masuk waktu solat aku berwudhu' zahir dan batin."

Isam bertanya, "Bagaimana wudhu' zahir dan batin itu?" Hatim berkata, "Wudhu' zahir sebagaimana biasa, iaitu membasuh semua anggota wudhu' dengan air. Sementara wudhu' batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :-

1. Bertaubat

2. Menyesali dosa yang dilakukan

3. Tidak tergila-gilakan dunia

4. Tidak mencari / mengharap pujian orang (riya')

5. Tinggalkan sifat berbangga

6. Tinggalkan sifat khianat dan menipu

7. Meninggalkan sifat dengki


Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku bayangkan Allah s.w.t. ada di hadapanku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut berada di belakangku, dan aku bayangkan pula bahawa aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Sirratul Mustaqim' dan aku menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhirku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik.

Setiap bacaan dan doa dalam solat kufaham maknanya, kemudian aku ruku' dan sujud dengan tawadhu', aku bertasyahhud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun." Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

KAIN KAFAN DARIPADA RASULULLAH S.A.W

Seorang wanita datang kepada Rasulullah s.a.w. Ia menyerahkan kain yang ditenunnya sendiri dan diserahkan kepada Rasulullah s.a.w sebagai rasa cintanya kepada Rasulullah s.a.w. Dengan senang hati Rasulullah s.a.w menerima pemberian itu dan memakainya. Dengan memakai kain pemberian wanita itu, Rasulullah s.a.w keluar menemui sahabatnya. Salah seorang daripada sahabat melihat begitu indahnya kain yang dipakai Rasulullah s.a.w, lau berkata, "Wahai Rasulullah, alangkah indahnya kain yang engkau pakai itu. Betapa senangnya jika aku memakainya," ujarnya.


"Baiklah," jawab Rasulullah s.a.w ringkas. Setelah keluar dari suatu majlis,Rasulullah s.a.w datang lagi ke tempat itu, tetapi tidak lagi menggunakan kain tenun yang baru dipakai itu. Kain pemberian wanita itu berlipat di tangannya, dan kemudian diserahkan kepada sahabat yang memujinya tadi. "Terimalah kain ini dan pakailah," ujar Rasulullah s.a.w

Melihat peristiwa itu, ramai sahabat yang mencela lelaki itu. Kain pemberian wanita itu sangat disenangi Rasulullah s.a.w kerana itu dipakainya, tetapi Rasulullah s.a.w tidak pernah menolak permintaan seseorang. "Mengapa engkau masih memintanya ?" sungut para sahabat.

Apa jawab sahabat yang meminta kain kepada Rasulullah s.a.w, "Saya minta kain itu bukan untuk saya pakai, melainkan untuk saya gunakan untuk kain kafanku."

LIMA BELAS BUKTI KEIMANAN

Al-Hakim meriwayatkan Alqamah bin Haris r.a berkata, aku datang kepada Rasulullah s.a.w dengan tujuh orang dari kaumku. Kemudian setelah kami beri salam dan beliau tertarik sehingga beliau bertanya, "Siapakah kamu ini?" Jawab kami, "Kami adalah orang beriman." Kemudian baginda bertanya, "Setiap perkataan ada buktinya, apakah bukti keimanan kamu ?" Jawab kami, "Buktinya ada lima belas perkara. Lima perkara yang engkau perintahkan kepada kami, lima perkara yang diperintahkan oleh utusanmu kepada kami dan lima perkara yang kami terbiasakan sejak zaman jahiliyyah ?"


Tanya Rasulullah s.a.w, "Apakah lima perkara yang aku perintahkan kepada kamu itu ?" Jawab mereka, "Kamu telah perintahkan kami untuk beriman kepada Allah s.w.t., percaya kepada Malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya, percaya kepada takdir Allah s.w.t. yang baik mahupun yang buruk." Selanjutnya tanya Rasulullah s.a.w "Apakah lima perkara yang diperintahkan oleh para utusanku itu ?" Jawab mereka, "Kami diperintahkan oleh para utusanmu untuk bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan engkau adalah utusan Allah, hendaknya kami mendirikan solat wajib, mengerjakan puasa di bulan Ramadhan, menunaikan zakat dan berhaji bila mampu."

Tanya Rasulullah s.a.w selanjutnya, "Apakah lima perkara yang kamu masih terbiasakan sejak zaman jahiliyyah ?" Jawab mereka, "Bersyukur di waktu senang, bersabar di waktu kesusahan, berani di waktu perang, redha pada waktu kena ujian dan tidak merasa gembira dengan sesuatu musibah yang menimpa pada musuh." Mendengar ucapan mereka yang amat menarik ini, maka Rasulullah s.a.w berkata, "Sungguh kamu ini termasuk di dalam kaum yang amat pandai sekali dalam agama mahupun dalam tatacara berbicara, hampir sahaja kamu ini serupa dengan para Nabi dengan segala macam yang kamu katakan tadi."

Kemudian Rasulullah s.a.w selanjutnya, "Mahukah kamu aku tunjukkan kepada lima perkara amalan yang akan menyempurnakan dari yang kamu punyai ?

Janganlah kamu mengumpulkan sesuatu yang tidak akan kamu makan.

Janganlah kamu mendirikan rumah yang tidak akan kamu tempati.

Janganlah kamu berlumba-lumba dalam sesuatu yang bakal kamu tinggalkan,

Berusahalah untuk mencari bekal ke dalam akhirat."

NABI IDRIS DAN PEDOMAN HIDUP

Nabi Idris a.s adalah keturunan keenam Nabi Adam, putera dari Yazid bin Mihla'iel bin Qoinan bin Anusy bin Syith bin Adam a.s dan dia adalah keturunan pertama yang dikurniakan kenabian setelah Adam dan Syith. Nabi Idris a.s mengikut sementara riwayat bermukim di Mesir, di mana ia berdakwah untuk agama Allah s.w.t. mengajarkan tauhid dan beribadah menyembah Allah s.w.t. serta memberi beberapa pedoman hidup bagi pengikut-pengikut agar menyelamatkan diri dari siksaan di akhirat dan kehancuran serta kebinasaan di dunia. Ia hidup sampai berusia 82 tahun.


Di antara beberapa nasihat dan kata-kata mutiaranya ialah :-
1. Kesabaran yang disertai iman kepada Allah s.w.t. membawa kemenangan.

2. Orang yang bahagia adalah orang yang merendah diri dan mengharapkan syafaat dari Tuhannya dengan amal-amal solehnya.

3. Bila kamu memohon sesuatu daripada Allah s.w.t. dan berdoa, maka ikhlaskanlah niatmu. Demikian pula puasa dan sembahyangmu.

4. Janganlah bersumpah dengan keadaan kamu berdusta dan janganlah menuntut sumpah dari orang yang berdusta agar kamu tidak menyekutui mereka dalam dosa.

5. Bertaatlah kepada raja-rajamu dan tunduklah kepada pembesar-pembesarmu serta penuhilah selalu mulut-mulutmu dengan ucapan syukur dan puji kepada Allah s.w.t.

6. Janganlah mengiri orang yang mujur nasibnya kerana mereka tidak akan banyak dan lama menikmati kemujuran nasibnya.

7. Barangsiapa melampaui kesederhanaan, tidak suatupun akan memuaskannya.

8. Tanpa membahagi-bahagikan nikmat yang diperolehi, seseorang tidak dapat bersyukur kepada Allah s.w.t. atau nikmat-nikmat yang diperolehinya itu.

CINTA SEJATI SEORANG IBU TERHADAP ANAK-ANAKNYA

Wanita itu sudah tua, namun semangat perjuangannya tetap menyala seperti wanita yang masih muda. Setiap tutur kata yang dikeluarkannya selalu menjadi pendorong dan bualan orang disekitarnya. Maklumlah, ia memang seorang penyair dua zaman, maka tidak kurang pula bercakap dalam bentuk syair. Al-Khansa bin Amru, demikianlah nama wanita itu. Dia merupakan wanita yang terkenal cantik dan pandai di kalangan orang Arab. Dia pernah bersyair mengenang kematian saudaranya yang bernama Sakhr :

"Setiap mega terbit, dia mengingatkan aku pada Sakhr, malang. Aku pula masih teringatkan dia setiap mega hilang dii ufuk barat Kalaulah tidak kerana terlalu ramai orang menangis di sampingku ke atas mayat-mayat mereka, nescaya aku bunuh diriku."

Setelah Khansa memeluk Islam, keberanian dan kepandaiannya bersyair telah digunakan untuk menyemarakkan semangat para pejuang Islam. Ia mempunyai empat orang putera yang kesemuanya diajar ilmu bersyair dan dididik berjuang dengan berani. Kemudian puteranya itu telah diserahkan untuk berjuang demi kemenangan dan kepentingan Islam. Khansa telah mengajar anaknya sejak kecil lagi agar jangan takut menghadapi peperangan dan cabaran.

Pada tahun 14 Hijrah, Khalifah Umar Ibnul Khattab menyediakan satu pasukan tempur untuk menentang Farsi. Semua Islam dari berbagai kabilah telah dikerahkan untuk menuju ke medan perang, maka terkumpullah seramai 41,000 orang tentera. Khansa telah mengerahkan keempat-empat puteranya agar ikut mengangkat senjata dalam perang suci itu. Khansa sendiri juga ikut ke medan perang dalam kumpulan pasukan wanita yang bertugas merawat dan menaikkan semangat pejuan tentera Islam.

Dengarlah nasihat Khansa kepada putera-puteranya yang sebentar lagi akan ke medan perang, "Wahai anak-anakku! Kamu telah memilih Islam dengan rela hati. Kemudian kamu berhijrah dengan sukarela pula. Demi Allah, yang tiada tuhan selain Dia, sesungguhnya kamu sekalian adalah putera-putera dari seorang lelaki dan seorang wanita. Aku tidak pernah mengkhianati ayahmu, aku tidak pernah memburuk-burukkan saudara-maramu, aku tidak pernah merendahkan keturuna kamu, dan aku tidak pernah mengubah perhubungan kamu. Kamu telah tahu pahala yang disediakan oleh Allah s.w.t. kepada kaum muslimin dalam memerangi kaum kafir itu. Ketahuilah bahawasanya kampung yang kekal itu lebih baik daripada kampung yang binasa."

Kemudian Khansa membacakan satu ayat dari surah Ali Imran yang bermaksud, "Wahai orang yang beriman! Sabarlah, dan sempurnakanlah kesabaran itu, dan teguhkanlah kedudukan kamu, dan patuhlah kepada Allah, moga-moga menjadi orang yang beruntung." Putera-putera Khansa tertunduk khusyuk mendengar nasihat bonda yang disayanginya.

Seterusnya Khansa berkata, "Jika kalian bangun esok pagi, insya Allah dalam keadaan selamat, maka keluarlah untuk berperang dengan musuh kamu. Gunakanlah semua pengalamanmu dan mohonlah pertolongan dari Allah s.w.t.. Jika kamu melihat api pertempuran semakin hebat dan kamu dikelilingi oleh api peperangan yang sedang bergejolak, masuklah kamu ke dalamnya. Dan dapatkanlah puncanya ketika terjadi perlagaan pertempurannya, semoga kamu akan berjaya mendapat balasan di kampung yang abadi, dan tempat tinggal yang kekal."

Subuh esoknya semua tentera Islam sudah berada di tikar sembahyang masing-masing untuk mengerjakan perintah Allah s.w.t. iaitu solat Subuh, kemudian berdoa moga-moga Allah s.w.t. memberikan mereka kemenangan atau syurga. Kemudian Saad bin Abu Waqas panglima besar Islam telah memberikan arahan agar bersiap-sedia sebaik sahaja semboyan perang berbunyi. Perang satu lawan satu pun bermula dua hari. Pada hari ketiga bermulalah pertempuran besar-besaran. 41,000 orang tentera Islam melawan tentera Farsi yang berjumlah 200,000 orang. Pasukan Islam mendapat tentangan hebat, namun mereka tetap yakin akan pertolongan Allah s.w.t..

Putera-putera Khansa maju untuk merebut peluang memasuki syurga. Berkat dorongan dan nasihat dari bondanya, mereka tidak sedikit pun berasa takut. Sambil mengibas-ngibaskan pedang, salah seorang dari mereka bersyair, "Hai saudara-saudaraku! Ibu tua kita yang banyak pengalaman itu, telah memanggil kita semalam dan membekalkan nasihat. Semua mutiara yang keluar dari mulutnya bernas dan berfaedah. Insya Allah akan kita buktikan sedikit masa lagi."

Kemudian ia maju menetak setiap musuh yang datang. Seterusnya disusul pula oleh anak kedua maju dan menentang setiap musuh yang mencabar. Dengan semangat yang berapi-api ia bersyair,

"Demi Allah! Kami tidak akan melanggar nasihat dari ibu tua kami Nasihatnya wajib ditaati dengan ikhlas dan rela hati Segeralah bertempur, segeralah bertarung dan menggempur mush-musuh bersama-sama Sehingga kau lihat keluarga Kaisar musnah." Anak Khansa yang ketiga pula segera melompat dengan beraninya dan bersyair, "Sungguh ibu tua kami kuat keazamannya, tetap tegas tidak goncang Beliau telah menggalakkan kita agar bertindak cekap dan berakal cemerlang Itulah nasihat seorang ibu tua yang mengambil berat terhadap anak-anaknya sendiri. Mari! Segera memasuki medan tempur dan segeralah untuk mempertahankan diri Dapatkan kemenangan yang bakal membawakegembiraan di dalam hati Atau tempuhlah kematian yang bakal mewarisi kehidupan yang abadi."

Akhir sekali anak keempat menghunus pedang dan melompat menyusul abang-abangnya. Untuk menaikkan semangatnya ia pun bersyair, "Bukanlah aku putera Khansa', bukanlah aku anak jantan Dan bukanlah pula kerana 'Amru yang pujiannya sudah lama terkenal Kalau aku tidak membuat tentera asing yang berkelompok-kelompok itu terjunam ke jurang bahay, dan musnah mangsa oleh senjataku." Bergelutlah keempat-empat putera Khansa dengan tekad bulat untuk mendapatkan syurga diiringi oleh doa munajat bondanya yang berada di garis belakang. Pertempuran terus hebat. Tentera Islam pada mulanya kebingungan dan kacau kerana pada mulanya tentera Farsi menggunakan tentera bergajah di barisan hadapan, sementara tentera berjalan kaki berlindung di belakang binatang tahan lasak itu. Namun tentera Islam dapat mencederakan gajah-gajah itu dengan memanah mata dan bahagian-bahagian lainnya. Gajah yang cedera itu marah dengan menghempaskan tuan yang menungganginya, memijak-mijak tentera Farsi yang lannya. Kesempatan ini digunakan oleh pihak Islam untuk memusnahkan mereka. Panglima perang bermahkota Farsi dapat dipenggal kepalanya, akhirnya mereka lari lintang-pukang menyeberangi sungai dan dipanah oleh pasukan Islam hingga air sungai menjadi merah. Pasukan Farsi kalah teruk, dari 200,000 tenteranya hanya sebahagian kecil sahaja yang dapat menyelamatkan diri.

Umat Islam lega. Kini mereka mengumpul dan mengira tentera Islam yang gugur. Ternyata yang beruntung menemui syahid di medan Kadisia itu berjumlah lebih kurang 7,000 orang. Dan daripada 7,000 orang syuhada itu terbujur empat orang adik-beradik Khansa. Seketika itu juga ramailah tentera Islam yang datang menemui Khansa memberitahukan bahawa keempat-empat anaknya telah menemui syahid. Al-Khansa menerima berita itu dengan tenang, gembira dan hati tidak bergoncang. Al-Khansa terus memuji Allah dengan ucapan,

"Segala puji bagi Allah s.w.t., yang telah memuliakanku dengan mensyahidkan mereka, dan aku mengahrapkan darii Tuhanku, agar Dia mengumpulkan aku dengan mereka di tempat tinggal yang kekal dengan rahmat-Nya!"

Al-Khansa kembali semula ke Madinah bersama para perajurit yang masih hidup dengan meninggalkan mayat-mayat puteranya di medan pertempuran Kadisia. Dari peristiwa peperanan itu pula wanita penyair ini mendapat gelaran kehormatan 'Ummu syuhada yang ertinya ibu kepada orang-orang yang mati syahid."

'AUJ BIN UNUQ DIBINASAKAN OLEH BURUNG HUD-HUD

'Auj bin Unuq adalah manusia yang berumur sehingga 4,500 tahun. Tinggi tubuh badannya di waktu berdiri adalah seperti ketinggian air yang dapat menenggelamkan negeri pada zaman Nabi Nuh a.s. Ketinggian air tersebut tidak dapat melebihi lututnya. Ada yang mengatakan bahawa dia tinggal di gunung. Apabila dia merasa lapar, dia akan menghulurkan tangannya ke dasar laut untuk menangkap ikan kemudian memanggangnya dengan panas matahari. Apabila dia marah atas sesebuah negeri, maka dia akan mengencingi negeri tersebut hinggalah penduduk negeri itu tenggelam di dalam air kencingnya.

Apabila Nabi Musa bersama kaumnya tersesat di kebun teh, maka 'Auj bermaksud untuk membinasakan Nabi Musa bersama kaumnya itu. Kemudian 'Auj datang untuk memeriksa tempat kediaman askar Nabi Musa a.s., maka dia mendapati beberapa tempat kediaman askar Nabi Musa itu tidak jauh dari tempatnya. Kemudian dia mencabut gunung-gunung yang ada di sekitarnya dan diletakkan di atas kepalanya supaya mudah untuk dicampakkan kepada askar-askar Nabi Musa a.s.

Sebelum sempat 'Auj mencampakkan gunung-gunung yang diunjung di atas kepalanya kepada askar Nabi Musa a.s, Allah s.w.t. telah mengutuskan burung hud-hud dengan membawa batu berlian dan meletakkannya di atas gunung yang dijunjung oleh 'Auj. Dengan kekuasaan Allah s.w.t., berlian tersebut menembusi gunung yang dijunjung oleh 'Auj sehinggalah sampai ke tengkuknya. 'Auj tidak sanggup menghilangkan berlian itu, akhirnya 'Auj binasa disebabkan batu berlian itu.

Dikatakan bahawa ketinggian Nabi Musa a.s adalah empat puluh hasta dan panjang tongkatnya juga empat puluh hasta dan memukulkan tongkatnya kepada 'Auj tepat mengenai mata dan kakinya. Ketika itu jatuhlah 'Auj dengan kehendak Allah s.w.t. dan akhirnya tidak dapat lari daripada kematian sekalipun badannya tinggi serta memiliki kekuatan yang hebat.

KEJUJURAN SEORANG SAUDAGAR PERMATA

Pada suatu hari, seorang saudagar perhiasan di zaman Tabiin bernama Yunus bin Ubaid, menyuruh saudaranya menjaga kedainya kerana ia akan keluar solat. Ketika itu datanglah seorang badwi yang hendak membeli perhiasan di kedai itu. Maka terjadilah jual beli di antara badwi itu dan penjaga kedai yang diamanahkan tuannya tadi. Satu barang perhiasan permata yang hendak dibeli harganya empat ratus dirham.

Saudara kepada Yunus menunjukkan suatu barang yang sebetulnya harga dua ratus dirham. Barang tersebut dibeli oleh badwi tadi tanpa diminta mengurangkan harganya tadi. Ditengah jalan, dia terserempak dengan Yunus bin Ubaid. Yunus bin Ubaid lalu bertanya kepada si badwi yang membawa barang perhiasan yang dibeli dari kedainya tadi. Sememangnya dia mengenali barang tersebut adalah dari kedainya. Saudagar Yunus bertanya kepada badwi itu, "Berapakah harga barang ini kamu beli?"

Badwi itu menjawab, "Empat ratus dirham." "Tetapi harga sebenarnya cuma dua ratus dirham sahaja. Mari ke kedai saya supaya saya dapat kembalikan wang selebihnya kepada saudara." Kata saudagar Yunus lagi. "Biarlah, ia tidak perlu. Aku telah merasa senang dan beruntung dengan harga yang empat ratus dirham itu, sebab di kampungku harga barang ini paling murah lima ratus dirham." Tetapi saudagar Yunus itu tidak mahu melepaskan badwi itu pergi. Didesaknya juga agar badwi tersebut balik ke kedainya dan bila tiba dikembalikan wang baki kepada badwi itu. Setelah badwi itu beredar, berkatalah saudagar Yunus kepada saudaranya, "Apakah kamu tidak merasa malu dan takut kepada Allah s.w.t. atas perbuatanmu menjual barang tadi dengan dua kali ganda?" Marah saudagar Yunus lagi.

"Tetapi dia sendiri yang mahu membelinya dengan harga empat ratus dirham." Saudaranya cuba mempertahankan bahawa dia dipihak yang benar. Kata saudagar Yunus lagi, "Ya, tetapi di atas belakang kita terpikul satu amanah untuk memperlakukan saudara kita seperti memperlakukan terhadap diri kita sendiri."

Jika kisah ini dapat dijadikan tauladan bagi peniaga-peniaga kita yang beriman, amatlah tepat. Kerana ini menunjukkan peribadi seorang peniaga yang jujur dan amanah di jalan mencari rezeki yang halal. Jika semuanya berjalan dengan aman dan tenteram kerana tidak ada penipuan dalam perniagaan.

Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Allah itu penetap harga, yang menahan, yang melepas dan memberi rezeki dan sesungguhnya aku harap bertemu Allah di dalam keadaan tidak seorang pun dari kamu menuntut aku lantaran menzalimi di jiwa atau diharga." (Diriwayat lima imam kecuali imam Nasa'i)

UNTA MENJADI HAKIM

Pada zaman Rasulullah s.a.w., ada seorang Yahudi yang menuduh orang Muslim mencuri untanya. Maka dia datangkan empat orang saksi palsu dari golongan munafik. Rasulullah s.a.w. lalu memutuskan hukum unta itu milik orang Yahudi dan memotong tangan Muslim itu sehingga orang Muslim itu kebingungan. Maka ia pun mengangkatkan kepalanya menengadah ke langit seraya berkata, "Tuhanku, Engkau Maha Mengetahui bahawa sesungguhnya aku tidak mencuri unta itu."
Selanjutnya orang Muslim itu berkata kepada Rasulullah s.a.w., "Wahai Rasulullah, sungguh keputusanmu itu adalah benar, akan tetapi mintalah keterangan dari unta ini."

Kemudian Rasulullah s.a.w. bertanya kepada unta itu, "Hai unta, milik siapakah engkau ini ?" Unta itu menjawab dengan kata-kata yang fasih dan terang, "Wahai Rasulullah, aku adalah milik orang Muslim ini dan sesungguhnya para saksi itu adalah dusta." Akhirnya Rasulullah s.a.w. berkata kepada orang Muslim itu, "Hai orang Muslim, beritahukan kepadaku, apakah yang engkau perbuat, sehingga Allah Taala menjadikan unta ini dapat bercakap perkara yang benar." Jawab orang Muslim itu, "Wahai Rasulullah, aku tidak tidur di waktu malam sehingga lebih dahulu aku membaca selawat ke atas engkau sepuluh kali."

Rasulullah s.a.w bersabda, "Engkau telah selamat dari hukum potong tanganmu di dunia dan selamat juga dari seksaan di akhirat nantinya dengan sebab berkatnya engkau membaca selawat untukku."

Memang membaca selawat itu sangat digalakkan oleh agama sebab pahala-pahalanya sangat tinggi di sisi Allah s.w.t. Lagi pula boleh melindungi diri dari segala macam bencana yang menimpa, baik di dunia dan di akhirat nanti. Sebagaimana dalam kisah tadi, orang Muslim yang dituduh mencuri itu mendapat perlindungan daripada Allah s.w.t. melalui seekor unta yang menghakimkannya.

KISAH ASAL USUL HAJAR ASWAD

Ketika Nabi Ibrahim a.s bersama anaknya membina Kaabah banyak kekurangan yang dialaminya. Pada mulanya Kaabah itu tidak ada bumbung dan pintu masuk. Nabi Ibrahim a.s bersama Nabi Ismail bertungkus kumus untuk menjayakan pembinaannya dengan mengangkut batu dari berbagai gunung.

Dalam sebuah kisah disebutkan apabila pembinaan Kaabah itu selesai, ternyata Nabi Ibrahim masih merasakan kekurangan sebuah batu lagi untuk diletakkan di Kaabah. Nabi Ibrahim berkata Nabi Ismail berkata, "Pergilah engkau mencari sebuah batu yang akan aku letakkan sebagai penanda bagi manusia."

Kemudian Nabi Ismail a.s pun pergi dari satu bukit ke satu bukit untuk mencari batu yang baik dan sesuai. Ketika Nabi Ismail a.s sedang mencari batu di sebuah bukit, tiba-tiba datang malaikat Jibril a.s memberikan sebuah batu yang cantik. Nabi Ismail dengan segera membawa batu itu kepada Nabi Ibrahim a.s. Nabi Ibrahim a.s. merasa gembira melihat batu yang sungguh cantik itu, beliau menciumnya beberapa kali.

Kemudian Nabi Ibrahim a.s bertanya, "Dari mana kamu dapat batu ini?"

Nabi Ismail berkata, "Batu ini kuterima daripada yang tidak memberatkan cucuku dan cucumu (Jibril)."

Nabi Ibrahim mencium lagi batu itu dan diikuti oleh Nabi Ismail a.s. Sehingga sekarang Hajar Aswad itu dicium oleh orang-orang yang pergi ke Baitullah. Siapa sahaja yang bertawaf di Kaabah disunnahkan mencium Hajar Aswad. Beratus ribu kaum muslimin berebut ingin mencium Hajar Aswad itu, yang tidak mencium cukuplah dengan memberikan isyarat lambaian tangan sahaja. Ada riwayat menyatakan bahawa dulunya batu Hajar Aswad itu putih bersih, tetapi akibat dicium oleh setiap orang yang datang menziarahi Kaabah, ia menjadi hitam seperti terdapat sekarang. Wallahu a'alam.

Apabila manusia mencium batu itu maka timbullah perasaan seolah-olah mencium ciuman Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Ingatlah wahai saudara-saudaraku, Hajar Aswad itu merupakan tempat diperkenan doa. Bagi yang ada kelapangan, berdoalah di sana, Insya Allah doanya akan dikabulkan oleh Allah s.w.t.. Jagalah hati kita sewaktu mencium Hajar Aswad supaya tidak menyengutukan Allah s.w.t., sebab tipu daya syaitan kuat di Tanah Suci Mekah. Ingatlah kata-kata Khalifah Umar bin Al-Khattab apabila beliau mencium batu itu (Hajar Aswad) : "Aku tahu, sesungguhnya engkau hanyalah batu biasa. Andaikan aku tidak melihat Rasulullah s.a.w. menciummu, sudah tentu aku tidak akan melakukan (mencium Hajar Aswad)."

KUBUR BERKATA-KATA

Dikisahkan bahawa sewaktu Fatimah r.a. meninggal dunia maka jenazahnya telah diusung oleh 4 orang, antara :-

1. Ali bin Abi Talib (suami Fatimah r.a)
2. Hasan (anak Fatima r.a)
3. Husin (anak Faimah r.a)
4. Abu Dzafrrin Al-Ghifary r.a

Sewaktu jenazah Fatimah r.a diletakkan di tepi kubur maka Abu Dzafrrin Al-Ghifary r.a berkata kepada kubur, "Wahai kubur, tahukah kamu jenazah siapakah yang kami bawakan kepada kamu ? Jenazah yang kami bawa ini adalah Siti Fatimah az-Zahra, anak Rasulullah s.a.w."

Maka berkata kubur, "Aku bukannya tempat bagi mereka yang berdarjat atau orang yang bernasab, adapun aku adalah tempat amal soleh, orang yang banyak amalnya maka dia akan selamat dariku, tetapi kalau orang itu tidak beramal soleh maka dia tidak akan terlepas dari aku (akan aku layan dia dengan seburuk-buruknya)."

Abu Laits as-Samarqandi berkata kalau seseorang itu hendak selamat dari siksa kubur hendaklah melazimkan empat perkara semuanya :-

1. Hendaklah ia menjaga solatnya
2. Hendaklah dia bersedekah
3. Hendaklah dia membaca al-Quran
4. Hendaklah dia memperbanyakkan membaca tasbih kerana dengan memperbanyakkan membaca tasbih, ia akan dapat menyinari kubur dan melapangkannya.

Adapun empat perkara yang harus dijauhi ialah :-

1. Jangan berdusta
2. Jangan mengkhianat
3. Jangan mengadu-domba (jangan suka mencucuk sana cucuk sini)
4. Jangan kencing sambil berdiri.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud, "Bersucilah kamu semua dari kencing, kerana sesungguhnya kebanyakan siksa kubur itu berpunca dari kencing."

Seseorang itu tidak dijamin akan terlepas dari segala macam siksaan dalam kubur, walaupun ia seorang alim ulama' atau seorang anak yang bapanya sangat dekat dengan Allah s.w.t.. Sebaliknya kubur itu tidak memandang adakah orang itu orang miskin, orang kaya, orang berkedudukan tinggi atau sebagainya, kubur akan melayan seseorang itu mengikut amal soleh yang telah dilakukan sewaktu hidupnya di dunia ini.

Jangan sekali-kali kita berfikir bahawa kita akan dapat menjawab setiap soalan yang dikemukakan oleh dua malaikat Mungkar dan Nakir dengan cara kita menghafal. Pada hari ini kalau kita berkata kepada saudara kita yang jahil takutlah kamu kepada Allah s.w.t. dan takutlah kamu kepada soalan yang akan dikemukakan ke atas kamu oleh malaikat Mungkar dan Nakir, maka mereka mungkin akan menjawab, "Ah mudah sahaja, aku boleh menghafal untuk menjawabnya."

Itu adalah kata-kata orang yang tidak berfikiran. Seseorang itu tidak akan dapat menjawab setiap soalan di alam kubur jikalau dia tidak mengamalkannya sebab yang akan menjawab ialah amalnya sendiri. Sekiranya dia rajin membaca al-Quran, maka al-Quran itu akan membelanya dan begitu juga seterusnya.

Monday, November 2, 2009

ANJING DENGAN BAYANG-BAYANG

Pada suatu hari, seekor anjing yang kelaparan merayau-rayau di sebuah lorong untuk mencari makanan. Akhirnya ia berjumpa seketul tulang didalam sebuah tong sampah. Anjing itu terus menggonggong tulang itu dan berlari menuju ke rumahnya.

Dalam perjalanan anjing itu melalui sebuah jambatan di atas sebatang anak sungai. Sambil meniti jambatan, anjing itu terpandang bayang-bayangnya di permukaan sungai. Ia menyangka ada seekor anjing lain dengan seketul tulang. Perasaan tamak mula menguasai dirinya. Anjing itu ingin mendapatkan 'tulang' daripada 'anjing' itu. Tanpa berfikir panjang, ia pun menyalak. Sebaik saja ia membuka mulutnya untuk menyalak, tulang yang digonggongnya pun jatuh ke dalam sungai. Anjing itu menyesal kerana tulang yang dijumpainya tadi terjatuh ke dalam sungai disebabkan sifat tamaknya.

MORAL & IKTIBAR
* Sifat tamak adalah sifat mazmumah yang dicela Allah

* Orang yang telah dikuasai sifat tamak selalunya akan menghalalkan apa cara saja asalkan apa yang dikehendakinya itu boleh diperolehinya; tanpa mengambil kira halal atau haram.

* Orang yang bersifat tamak mengumpulkan harta dan wang ringgit biasanya tidak akan berhenti dari melonggokkannya selagi dia tidak diikat dengan kain kapan di kaki dan kepalanya (mati).

* Sifat zuhud (memada apa yang ada) adalah sifat terpuji yang perlu dibentuk dalam diri kita

* Orang tamak sentiasa dalam keadaan miskin walaupun sudah kaya-raya. Sebaliknya orang zuhud adalah pada hakikatnya kaya kerana mereka tidak memerlukan apa-apa lagi.

* Manusia yang tamak jika diberikan segunung emas akan berusaha untuk mendapatkan gunungan emas yang lain. Mereka akan berhenti mencari kekayaan hanya apabila dimatikan.

* Sinario yang berlaku di negara kita dewasa ini adalah contoh angkara sifat tamak manusia yang ingin mengumpulkan harta dunia untuk diri dan kroni sehingga menghalalkan nepotisma dan kronisma; malahan sanggup melakukan pembohongan terbesar serta kezaliman yang tiada tandingannya di zaman ini. Mereka menghalalkan apa jua cara, menyalahgunakan segala kuasa yang ada sehingga sanggup membutakan mata, memekakkan telinga, mempetrikan hati, menjerebukan fikiran serta berlaku ganas menahan/menyeksa orang yang dianggap sebagai penghalang kepada nafsu rakusnya. Inilah Firaun dan Qarun Zaman Multimedia Super Corridor.


* Amaran Nabi: Apabila mencecah umur 40-an tapi kejahatannya masih melebihi kebaikan, maka bersiap sedialah (gulung tikar bantal) untuk masuk ke neraka.

Thursday, October 22, 2009

PUASA SI MISKIN

Sekadar renungan, peringatan buat diriku yang sering terlepas pandang. Aku telah menemui sebuah rumah yang usang. Rumah itu hanya berdindingkan buluh bertanggakan batang kelapa. Di serambi rumah itu ada beberapa anak kecil yang kelihatan lesu dan letih. Aku hampiri mereka lalu bertanya kepada yang paling tua antara mereka, seorang kakak yang berumur baru kira-kira 11 tahun:

"Mana emak? "
"Mak pergi menoreh," jawabnya.
"Mana bapak?"
"Bapak pergi kerja..."
"Habis tu adik yang kecil ini siapa yang jaga?" Di situ ada seorang bayi dalam lingkungan umur 5 bulan.
"Adik ini sayalah yang jaga." Jawab budak berkenaan.
"Awak ada berapa orang adik-beradik? "
"Sepuluh."
"Adik ni yang ke berapa?"
"Saya yang kelapan."
"Mana abang-abang kamu pergi?"
"Tolong emak menoreh."
"Adik puasa hari ini?"
"Sama je pakcik, puasa ke tidak.. Kami ni makan sekali je sehari..." Jawabnya.
Mendengar kata-kata itu aku sungguh terharu.
Lalu aku bertanya lagi "Adik bersekolah dimana?"
"Saya tak sekolah.. Emak bapak tak mampu..".
"Bapak kerja apa?"
"Tangkap ikan kat sungai nak buat lauk bukak puasa ".

Budak itu memberi tahu, lebih baiklah bulan puasa berbanding bulan lain kerana pada bulan puasa mereka dapat makan kuih. Ada saja orang yang hantar. Aku berlalu dari situ dengan seribu-satu keinsafan. Kebetulan di simpang jalan ada orang menjual daging lembu tempatan.. Aku beli satu kilo tulang lembu. Di kedai runcit pula, aku beli rempah sup dan sepuluh kilo beras untuk disedekahkan kepada keluarga itu. Bila saja aku beri barang-barang itu pada adiknya, dia melompat kegembiraan sambil menjerit "Yeh yeh..! Kita dapat makan daging malam ni..!". Aku bertanya kepada si kakak mengapa adiknya girang sangat. Dia memberitahu aku, sejak dari raya korban tahun lepas baru sekarang mereka berpeluang makan daging lembu sekali lagi. Seminggu kemudian aku datang lagi ke rumah itu. Bila mereka melihat aku datang, mereka girang menyambutku di pintu rumah. Kebetulan pada hari itu aku sempat berjumpa dengan ibu mereka. Sungguh menyedihkan cerita yang aku dengar: Anak yang berumur 4 tahun itu memberitahu padaku bahawa mereka sudah seminggu makan sup tulang yang aku berikan hari itu.

"Tiap-tiap hari mak buat sup, sedaplah Pakcik.."

Aku bertanya kepada emaknya macam mana dia lakukan hinggakan sup itu boleh tahan sampai satu minggu? Dia memberitahu padaku bahawa pada hari pertama dia merebus tulang itu,dia telah berpesan kepada anak-anaknya agar tidak membuangkan tulang yang telah dimakan. Dia kutip semula semua tulang-tulang itu dan merebusnya semula untuk dimakan pada hari berikutnya. Itulah yang dia lakukan setiap hari. Dia berkata

"Kalau tidak dapat makan isi, hirup air rebusan tulang pun dah lebih dari cukup untuk anak-anak saya. Dia orang suka sangat."
Aku bertanya lagi "Upah menoreh berapa makcik dapat?"
"Cuma RM3.00 sehari."
"Ayahnya bekerja macam mana"
"Kalau dia dapat ikan itulah yang dibuat lauk setiap hari." Rupa-rupanya aku terlupa bahawa aku sebenarnya hidup dalam keadaan mewah.. Pernahkah anda menghirup air rebusan tulang yang direbus semula sepanjang hidup anda? Atau adakah anda buang saja tulang itu beserta daging-daging yang ada padanya kerana anda kata ianya "TAK SEDAP"? Mungkin kita sudah terbiasa hidup senang hinggakan kita lupa bahawa kalau pun kita susah, masih ramai lagi orang yang lebih susah dari kita.

Thursday, October 8, 2009

Iktibar Pakaian Sekolah

Sejak Imran masuk tadika, ummi sediakan 2 pasang baju untuk bertukar. Bila masuk sekolah kebangsaan, ummi sediakan 3 pasang pakaian sekolah. Dan sepasang baju melayu putih untuk sekolah agama. Semuanya serba cukup. Sepatutnya bila pakai cukup, mestilah bersyukur. Jaga pakaian elok-elok dan jaga kebersihan pakaian.

Oleh kerana pakaian sekolah agama sepasang sahaja, pakaian ini di basuh hari-hari . Pakaian baju melayu untuk sekolah agama sepasang sahaja sebab, masa belajar di sekolah agama cuma 1 jam 30 minit sahaja. Bukan lama mana pun, tapi kalau terlewat sikit saja jemput balik rumah, alamat kotorlah baju itu kerana bermain-main dengan kawan-kawan di sekolah.

Ikuti kisah seorang anak yang berkongsi pakaian untuk ke sekolah... Semoga menjadi iktibar pada Imran dan lain-lain.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Penulis: Che Ghazali Kasim, USMKK.

Tajuk: SEMOGA JADI IKTIBAR

Saya sangat mengkagumi kerjaya sebagai guru sekolah. Sebuah kisah yang saya paparkan ini saya ulangi dari kisah benar seorang guru beberapa tahun yang lalu.

Ceritanya:

Saya mengajar di sekolah rendah di tengah2 bandaraya Kuala Lumpur. Saya mengajar sesi petang. Salah seorang murid saya setiap hari datang lambat ke sekolah. Kasut dan bajunya selalu kotor. Setiap kali saya bertanya tentang baju dan kasutnya dia hanya berdiam diri.

Saya masih bersabar dengan keadaan pakaiannya, tetapi kesabaran saya tercabar dengan sikapnya yang setiap hari datang lambat. Pada mulanya saya hanya memberi nasihat. Dia hanya menundukkan kepala tanpa berkata2 kecuali anggukkan yang seolah2 dipaksa.

Kali kedua saya memberi amaran, dia masih juga mengangguk tetapi masih juga datang lambat keesokannya. Kali ketiga saya terpaksa menjalankan janji saya untuk memukulnya kalau masih lambat. Anehnya dia hanya menyerahkan punggungnya untuk dirotan . Airmata saja yang jatuh tanpa sepatah kata dari mulutnya.

Keesokan harinya dia masih juga lambat, dan saya memukulnya lagi. Namun ia masih tetap datang ke sekolah dan masih tetap lambat. Suatu hari saya bercadang untuk mengintip dia ke rumahnya. Setelah mendapatkan alamatnya, saya meneruskan niat saya. Dia tinggal di sebuah kawasan setinggan tidak berapa jauh dari sekolah. Keadaan rumahnya sangat daif. Saya nampak murid saya itu sedang berdiri di depan rumahnya dalam keadaan gelisah. Seorang wanita yang mungkin ibunya juga kelihatan gelisah.

Lebih kurang pukul 1.30 seorang anak lelaki sedang berlari2 sekuat hati menuju ke rumah itu. Sambil berlari dia membuka baju sekolahnya. Sampai di depan rumah baju dan kasutnya diserahkan pula kepada murid saya yang terus bergegas memakainya. Sebelum pakaian sekolah sempurna dipakai, dia sudah berlari ke arah sekolah.

Saya kembali ke sekolah dengan penuh penyesalan. Saya memanggil anak itu sambil menahan airmata yang mula tergenang.

“Maafkan cikgu. Tadi cikgu pergi ke rumah kamu dan memerhatikan kamu dari jauh. Siapa yang berlari memberikan kamu baju tadi?”

Dia terkejut dan wajahnya berubah.

“Itu abang saya. Kami kongsi baju dan kasut sebab tak ada baju lain. Itu saja baju dan kasut yang ada. Maafkan saya, cikgu,” jawabnya.

“Kenapa kamu tak beritahu cikgu dan kenapa kamu biarkan saja cikgu pukul kamu?”

” Mak pesan, jangan meminta2 pada orang, jangan ceritakan kemiskinan kita pada orang. Kalau cikgu nak pukul serahkan saja punggung kamu.”

Sambil menahan airmata yang mula berguguran saya memeluk anak itu, “Maafkan cikgu, …….”

Kejadian itu cukup menginsafkan saya. Selepas itu saya cuba membantunya setakat yang mampu.

Cerita2 begini membantu melembutkan hati yang keras. Kata seorang guru, sekiranya hati kita mula keras lembutkanlah dengan perkara2 berikut;

i. Solat sunat.
ii. puasa sunat.
iii. berzikir.
iv. bersedekah.
v. mengusap rambut anak yatim.
vi. mendengar cerita2 kesusahan orang lain.
vii. membantu orang susah.


ihsan : http://keranacinta.wordpress.com/

Thursday, October 1, 2009

Kepentingan Menggembirakan Ibubapa.

Abd Allah ibn ‘Amr radhiallahu 'anh menerangkan bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan berkata:“Sesungguhnya aku datang untuk memberi janji taat setia (bai‘ah) kepada engkau untuk berhijrah, akan tetapi aku meninggalkan kedua orang tuaku dalam keadaan menangis.” Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berkata kepadanya:“Kembalilah kepada mereka berdua dan jadikanlah mereka berdua ketawa (gembirakanlah mereka) sebagaimana kamu jadikan mereka menangis.”[1]

Berhijrah adalah salah satu tuntutan Islam yang amat penting. Malah Allah Subhanahu wa Ta'ala memberi amaran keras kepada sesiapa yang enggan berhijrah tanpa alasan yang munasabah. Firman Allah:”Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata:“Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu?”
Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi.”
Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah). Maka mereka (yang demikian sifatnya), mudah-mudahan Allah maafkan mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun. [al-Nisa’ 4:97-99]

Termasuk orang yang dimaafkan kerana tidak berhijrah adalah sebagaimana hadis di atas, dimana jika berhijrah akan menyedihkan ibubapanya, maka yang lebih utama adalah dia tidak berhijrah dan kembali menggembirakan mereka.
Dalam hadis ini terkandung petunjuk bahawa menggembirakan ibubapa adalah salah satu daripada tuntutan agama. Oleh itu janganlah kita melakukan sesuatu tindakan yang menjauhkan ibubapa daripada kegembiraan, apatah lagi jika ia menyedihkan mereka. Tidak ada cara yang terhad untuk menggembirakan ibubapa, asalkan ia tidak melibatkan sesuatu yang dilarang oleh syari‘at. Kerap kali menghubungi mereka, sering kali menziarahi mereka, membawa mereka bercuti, membelikan mereka hadiah adalah beberapa contoh cara kita boleh menggembirakan ibubapa. Meninggalkan mereka kesunyian, tidak menjengok mereka, tidak prihatin akan hal ehwal mereka, bercakap dengan nada yang keras, memarahi mereka adalah beberapa contoh tindakan kita yang menyedihkan mereka.Timbul persoalan, bolehkah menggembirakan ibubapa dengan meraikan Mother’s Day dan Father’s Day? Sebahagian tokoh melarang sambutan Mother’s Day dan Father’s Day. Hujah mereka adalah:

1. Hari perayaan dalam Islam hanya dua, iaitu ‘Idul Fitri dan ‘Idul Adha. Apa-apa perayaan yang lain adalah bid’ah yang dilarang oleh agama.
2. Seandainya Mother’s Day dan Father’s Day adalah baik, sudah tentu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam akan menganjurkannya kepada para sahabat radhiallahu 'anhum pada zaman baginda.
3. Mother’s Day dan Father’s Day adalah perayaan orang bukan Islam dan kita umat Islam dilarang daripada mengikuti mereka.
4. Berbuat baik kepada ibu dan ayah adalah tuntutan sepanjang tahun dan bukannya pada satu dua hari tertentu dalam setahun.

Sekalipun tokoh-tokoh yang melarang adalah mereka yang dihormati, itu tidaklah bermakna hujah-hujah mereka tidak boleh dibuka untuk analisa. Dalam menganalisa hujah-hujah mereka berkenaan sambutan Mother’s Day dan Father’s day, saya dapati ianya adalah lemah. Sebabnya:

1. Perayaan bid‘ah yang dilarang adalah perayaan yang bersangkutan dengan agama. Aidul Fitri dan Aidul Adha adalah hari perayaan keagamaan, kerana itulah pada hari tersebut kita dituntut untuk bertakbir dan melaksanakan solat sunat. Adapun hari Mother’s Day dan Father’s Day, maka ia adalah perayaan yang bersangkutan dengan adat manusia, sepertimana perayaan Hari Guru, Hari Warga Tua dan sebagainya. Tidaklah termasuk dalam perbincangan bid‘ah atau sunnah apa yang bersangkutan dengan adat manusia.

Perlu diingatkan bahawa dalam berinteraksi dengan persoalan bid‘ah, manusia terbahagi kepada tiga kumpulan:
* Pertama adalah mereka yang amat ketat penilaiannya, sehingga hampir semua perkara yang baru dilabel sebagai bid‘ah yang dilarang oleh Islam. Padahal sebahagian besar daripada perkara tersebut adalah sesuatu yang harus hukumnya.
* Kedua adalah mereka yang bermudah-mudahan penilaiannya, sehingga hampir semua perkara yang baru dilabel sebagai bid‘ah hasanah. Padahal di antara perkara tersebut ada yang benar-benar merupakan bid‘ah yang dilarang oleh Islam.
* Ketiga adalah mereka yang berada di pertengahan, tidak berlebih-lebihan dan tidak pula bermudah-mudahan. Setiap perkara yang baru tidak akan dilabel sebagai bid‘ah mahupun sunnah melainkan terlebih dahulu dianalisa secara mendalam.

2. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak menganjurkan Mother’s Day dan Father’s Day pada zaman baginda kerana suasana yang memerlukannya tidak wujud. Di kalangan sahabat, ada yang ibubapa mereka memusuhi Islam. Maka sememangnya tidak perlu berbuat baik kepada mereka. Bagi sebahagian sahabat yang lain, mereka tinggal bersama atau berhampiran ibubapa sehingga tidak memerlukan hari yang istimewa untuk berbuat baik kepada ibubapa.

Berbeza dengan masa kini, kebanyakan kita (anak-anak) berada jauh daripada ibubapa, sama ada kerana pembelajaran atau kerjaya. Suasana ini menyebabkan kita perlu mencari ruang untuk berbuat baik kepada ibubapa semampu boleh sambil meneruskan kehidupan sendiri. Meraikan ibubapa pada Mother’s Day dan Father’s Day adalah salah satu daripada ruang tersebut.

3. Tidaklah semua yang berasal daripada kaum bukan Islam adalah dilarang. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sendiri pernah meminta para tawanan Perang Badar untuk mengajar umat Islam membaca dan menulis. Baginda juga pernah beberapa kali menggunakan strategi peperangan bangsa lain dalam ekspedisi jihadnya.
Justeru larangan mengikuti kaum bukan Islam sebenarnya ditujukan kepada sesuatu yang merupakan ciri-ciri keagamaan mereka yang masih dipraktikkan. Merujuk kepada hari perayaan, kita umat Islam dilarang untuk turut serta merayakan atau meniru hari keagamaan mereka, seperti Hari Easter, Hari Thaipusam, Hari Wesak dan sebagainya. Mother’s Day dan Father’s Day bukanlah hari keagamaan kaum bukan Islam.

4. Hujah “Berbuat baik kepada ibu dan ayah adalah tuntutan sepanjang tahun dan bukannya pada satu dua hari tertentu dalam setahun” adalah bukti bahawa yang berhujah tidak berpijak di atas bumi yang nyata. Bahkan ia boleh digunakan untuk bertanya kembali kepada mereka: “Jika begitu kenapakah anda saat ini tidak berada dan sentiasa berada di sisi ibubapa anda?”
Berbuat baik kepada ibubapa tidaklah bererti duduk di sebelah mereka sepanjang masa. Akan tetapi ia adalah mengimbangi dengan adil antara berbuat baik kepada mereka dan meneruskan kehidupan sendiri. Salah satu daripada perimbangan tersebut ialah meraikan ibubapa pada hari Mother’s Day dan Father’s Day. Sudah tentu adalah lebih baik jika anak-anak dapat mewujudkan ruang yang lebih kerap untuk berbuat baik kepada ibubapa mereka. Ini akan saya jelaskan seterusnya dalam buku ini, insya-Allah.
Oleh itu meraikan Mother’s Day dan Father’s Day adalah harus, terbuka kepada kedudukan setiap anak-anak. Sesiapa yang mendapati ianya dapat menggembirakan ibubapa mereka, maka teruskanlah. Namun sesiapa yang dapat mewujudkan ruang lain untuk menggembirakan ibubapa mereka tanpa terhad kepada Mother’s Day dan Father’s Day, sudah tentu ia adalah lebih baik. Penjelasan yang sama juga ditujukan kepada beberapa hari-hari yang lain seperti sambutan Hari Jadi.


Rujukan :
[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasai

Ibubapa Memiliki Hak Terhadap Sebahagian Harta Anak.

Pernah seorang anak datang mengadu kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:“Wahai Rasulullah, saya memiliki harta dan anak akan tetapi ayahku ingin menghabiskan harta aku.” Rasulullah menjawab: “Kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu.”[1]

Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:Tidak dihalalkan bagi seseorang memberikan satu pemberian kemudian memintanya balik kecuali seorang ayah terhadap apa yang diberikannya kepada anaknya.[2]

Kedua-dua hadis di atas dapat dikupas dari dua sudut:

Sudut Pertama :

Ia adalah dari sudut keutamaan dimana ia menunjukkan betapa besar hak ibubapa ke atas kita sehingga harta kita dan apa yang pernah mereka berikan kepada kita boleh menjadi milik mereka. Sekalipun kedua-dua hadis di atas hanya merujuk kepada seorang ayah, akan tetapi seorang ibu termasuk sama. Ini kerana hak seorang ibu terhadap anaknya adalah lebih besar sebagaimana yang dijelaskan dalam beberapa hadis sebelum ini.

Sudut Kedua :

Ia adalah dari sudut hukum fiqh, maka hukum yang terkandung dalam kedua-dua hadis bukanlah secara mutlak tetapi dibatasi dengan kaedah bahawa ketaatan hanya dalam perkara yang ma’ruf, bukan maksiat. Sebelum ini telah dikemukakan dua buah hadis:

Menjadi kewajipan seorang muslim untuk mendengar dan taat, perkara yang disukai mahupun yang dibenci selagi mana ia tidak melibatkan maksiat. Maka jika disuruh untuk melakukan maksiat maka tidak perlu mendengar dan tidak perlu mentaatinya.[3]

Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah aku lebih dicintainya berbanding ibubapanya, anaknya dan manusia seluruhnya.[4]

Di samping itu terhadap sebuah hadis lain daripada ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh dimana beliau menerangkan:Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menghantar satu ekspedisi pejuang dan melantik seorang lelaki dari kalangan Ansar sebagai pemimpinnya. Baginda memerintahkan mereka (para pejuang) untuk mentaati pemimpin tersebut. Dalam ekspedisi itu, pemimpin tersebut menjadi marah kepada mereka (para pejuangnya) dan berkata:“Tidakkah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam memerintahkan kalian mentaati aku?”
Mereka menjawab: “Ya.”Dengan itu dia berkata: “Aku memerintahkan kalian memungut kayu api, nyalakan api dan lompat ke dalamnya!”
Maka mereka memungut kayu api dan menyalakan api. Akan tetapi tatkala mereka ingin melompat ke dalam, mereka melihat kepada satu sama lain dan sebahagian daripada mereka berkata:“Sesungguhnya kita mengikuti Nabi shallallahu 'alaihi wasallam (agama Islam) tidak lain untuk menyelamatkan diri daripada api, apakah patut kita memasukinya sekarang?”Sementara itu api padam dan kemarahan pemimpin mereka juga menjadi reda. Maka setelah itu mereka menceritakan apa yang berlaku kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Baginda menjawab: “Seandainya kalian melompat ke dalamnya pasti kalian tidak akan keluar selama-lamanya. Sesungguhnya ketaatan tidak lain hanya dalam perkara ma’ruf (kebaikan yang selari dengan syari‘at Islam).”[5]

Oleh itu apabila dikatakan: “Kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu”, maka ia bukanlah keseluruhan harta sehingga meninggalkan kita dalam keadaan muflis dan merana. Akan tetapi yang dimaksudkan adalah, ibubapa memiliki kedudukan yang amat besar terhadap kita sehingga mereka berhak kepada sebahagian daripada harta kita. Betapa tidak, bukankah ibubapa juga, ketika kita masih kecil, telah mengorbankan sebahagian besar harta mereka untuk membesar dan mendidik kita? Justeru berdasarkan hadis ini, kita tidak boleh bersikap kedekut terhadap ibubapa. Hendaklah secara rela kita berkongsi sebahagian harta bersama ibubapa dan memberikan lebih dari itu jika mereka berhajat kepadanya.

Perkara ini turut disentuh oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan firman-Nya:Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad):
“Apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)?”Katakanlah: “Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlahkepada kedua ibubapa…” [al-Baqarah 2:215][/i][/color]

Dalam sebuah hadisnya, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda:

Seorang anak belum membalas budi ayahnya sehingga dia mendapati ayahnya seorang budak hamba, lalu dia membelinya dan memerdekakannya.[6]

Demikian juga berkenaan hak ibubapa untuk mengambil semula pemberian mereka kepada kita. Pengambilan semula adalah dengan syarat ia tidak menjadikan kita dalam keadaan yang sukar. Sebagai contoh, jika ibubapa telah memberi duit pendahuluan kepada kita untuk membeli kereta, mereka hanya boleh meminta balik duit tersebut jika kita belum membeli kereta. Jika kita sudah membeli kereta, ibubapa tidak boleh meminta balik kerana ini akan membebankan kita.

Sebelum beralih ke hadis seterusnya, ingin ditekankan bahawa memberi harta atau wang ringgit kepada ibubapa hanyalah merupakan sebahagian daripada tuntutan berbuat baik kepada ibubapa. Ia tidak mewakili keseluruhan daripada tuntutan tersebut. Mungkin ada sebahagian daripada kita yang merasa cukup untuk berbuat baik kepada ibubapa sekadar mengirim elaun bulanan RM200 ke kampung. Selain itu tidak diendahkan langsung hal ehwal ibubapa. Malah jika diketahui ibubapanya amat menghajati anak-anaknya, hajat tersebut ditutupi dengan cara menambah elaun bulanan.

Ketahuilah bahawa bagi kebanyakan ibubapa, perhatian daripada kita sebagai anak-anak lebih mereka hargai daripada wang ringgit. Sering menalifon, menghantar surat dan balik ke kampung lebih dihargai dan diredhai oleh ibubapa daripada “RM” sekian-sekian yang dihantar setiap bulan.[/b][/i]

Rujukan

[1] Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah

[2] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi

[3] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 7144
[4] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 15 (Kitab al-Iman, Bab mencintai Rasulullah adalah sebahagian daripada iman)

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 7145 (Kitab al-Ahkam, Bab mendengar dan taat kepada pemerintah selagi mana ia bukan merupakan maksiat).

[6] Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah

Ibubapa Memiliki Hak Dalam Pemilihan Pasangan Hidup Anak.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Tidak ada nikah kecuali dengan wali.[1]

Apa yang baginda maksudkan dengan hadis di atas ialah, pernikahan adalah tidak sah tanpa izin wali. Hadis berikut memperincikan maksud hadis di atas:Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya maka pernikahan tersebut adalah batal (baginda mengulanginya tiga kali).[2]

Jika dua hadis di atas merujuk kepada anak perempuan, maka dua hadis berikut merujuk kepada anak lelaki pula. ‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma berkata:Aku pernah memiliki seorang isteri yang sangat aku cintai akan tetapi ‘Umar (bin al-Khaththab,yakni ayahnya) tidak menyukainya dan menyuruh aku menceraikannya. Namun aku enggan.Maka ‘Umar membawa hal ini kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan menceritakan apa yang berlaku. Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menjawab (kepada ‘Abd Allah ibn ‘Umar): “Ceraikanlah dia.6] Oleh itu pemahaman dan pelaksaan hadis-hadis di atas boleh dibahagikan kepada tiga suasana:

Suasana Pertama:

Apabila ibubapa enggan menerima calon pilihan kita berdasarkan alasan yang dibenarkan syari‘at. Contohnya ialah calon yang bukan beragama Islam dan dia memang tidak bercadang untuk memeluk Islam. Maka dalam kes ini ibubapa layak menegah kita daripada berkahwin dengan calon tersebut dan kita wajib mematuhinya.

Suasana Kedua:

Apabila ibubapa enggan menerima calon pilihan kita disebabkan alasan yang menyelisihi syari‘at. Contohnya apabila ibubapa enggan menerima calon isteri pilihan kita semata-mata kerana dia berpakaian menutup aurat, atau enggan menerima calon lelaki pilihan kita semata-mata kerana dia sering pergi solat berjamaah. Maka dalam kes ini ibubapa tidak sepatutnya menegah kita daripada calon tersebut. Akan tetapi ini tidaklah bererti kita boleh “kahwin lari”. Sebaliknya hendaklah kita berbincang dengan sopan dan hikmah bersama ibubapa agar mereka akhirnya bersetuju dengan calon pilihan kita.

Suasana Ketiga:

Kita dan ibubapa saling berselisih dengan masing-masing memiliki alasan yang harus di sisi syari‘at. Dua contoh yang lazim berlaku adalah:

1. Kita ingin berkahwin tetapi masih menuntut. Ibubapa tidak membenarkannya sehinggalah ditamatkan pengajian terlebih dahulu.
2. Calon lelaki pilihan kita tidak memiliki pekerjaan yang mampu menyara hidup.

Bagi kedua-dua contoh di atas atau apa-apa yang seumpama, hendaklah kita berbincang dengan ibubapa untuk mencari jalan penyelesaian yang dipertengahan. Jika perbincangan tidak membuahkan hasil yang diingini, hendaklah kita mengalah kepada ibubapa. Ketahui bahawa apa yang ada di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala adalah jauh lebih baik daripada kekasih yang ada di hati.

Masih merujuk kepada hadis-hadis di atas, terdapat dua perkara penting yang ingin saya ingatkan:

Peringatan Pertama:

Banyak berlaku kes “kahwin lari” dengan menggunakan “wali tersendiri”. Perlu diingatkan bahawa “wali” yang dimaksudkan dalam dua hadis pertama di atas adalah ayah kepada pasangan perempuan. Seorang anak perempuan tidak boleh memilih wali yang lain kecuali jika dia memiliki alasan yang dibenarkan syari‘at, seperti ayah yang sudah tiada, jelas-jelas fasiq[7] atau tidak siuman. Pun begitu, hak wali beralih kepada yang terdekat iaitu datuknya. Jika tidak ada yang layak mengganti, maka ia diwakilkan kepada seorang hakim yang adil lagi amanah.

Pernikahan tanpa keizinan wali, yakni seorang ayah kepada pasangan perempuan, adalah tidak sah dan batal kepada kedua-dua pasangan, lelaki dan perempuan. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menegaskan, maksudnya: “Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya maka pernikahan tersebut adalah batal (baginda mengulanginya tiga kali).11]

Adakalanya seorang anak membuat pilihan calon tersendiri berdasarkan petunjuk hadis di atas. Namun calon yang dipilih tidak dipersetujui oleh ibubapa mereka. Berdasarkan anggapan bahawa mereka berada di pihak yang benar, anak tersebut sanggup meninggikan suara terhadap ibubapanya kerana menyangka dia berada di pihak yang betul.

Hadis di atas adalah benar akan tetapi tidak boleh beramal dengan satu hadis dan meninggalkan hadis-hadis yang lain. Justeru seandainya ibubapa bersifat terbuka kepada apa sahaja kriteria yang dipilih oleh anak mereka, maka memang tepat jika anak tersebut memilih calonnya berdasarkan hadis di atas.

Akan tetapi jika ibubapa turut prihatin dengan kriteria yang dipilih oleh anak dan mereka menolak calon yang dipilih oleh anak semata-mata kerana kebaikan agamanya, maka penolakan ibubapa bukanlah alasan yang dibenarkan oleh syari‘at. Pun begitu, anak tidak boleh sewenang-wenangnya meninggikan suara di hadapan ibubapanya. Hendaklah dia berbincang kepada mereka dengan perbincangan yang penuh rendah diri, sopan dan sabar. Tidaklah bijak untuk mengejar satu kebaikan dengan meninggalkan banyak kebaikan yang lain. Kebijaksanaan terletak pada mengejar semua kebaikan mengikut keutamaannya (Fiqh al-Awlawiyat: فقه الأولويات).

Demikian dua belas buah hadis yang dapat dikemukakan bagi menerangkan kedudukan ibubapa menurut al-Sunnah. Inti daripadanya adalah jelas, bahawa ibubapa memiliki kedudukan yang amat penting kepada kita sementara berbuat baik kepada ibubapa membuahkan hasil yang pelbagai manfaatnya di dunia dan akhirat. Maka beruntunglah anak-anak yang berusaha untuk berbuat baik kepada ibubapa mereka manakala rugilah anak-anak yang enggan berbuat sedemikian.


Rujukan

[1] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud

[2] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud d

[3] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud
[4] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi

[6] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari

[7] Maksudnya benar-benar menenggelamkan dirinya dalam perbuatan yang dilarang seperti selalu mabuk, selalu berjudi dan mengamuk apabila marah, suka memukul ahli keluarga dan sebagainya. Jika ayahnya berbuat salah sekadar menghisap rokok, solat berjamaah sekali-sekala, memakai seluar pendek dan sebagainya, dia tidak termasuk dalam kategori fasiq yang dimaksudkan di atas.

[8] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud

Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ahli fiqh tentang hukum wali dalam perkahwinan dan ia dapat diringkaskan kepada tiga pendapat:

1. Wali adalah tidak wajib. Ini adalah pendapat yang lemah berdasarkan hadis yang bermaksud: “Tidak ada nikah kecuali dengan wali.” [Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud ]

2. Wali adalah wajib dan yang berhak menjadi wali adalah sesiapa sahaja yang layak. Ini kerana perkataan “Wali” dalam hadis “Tidak ada nikah kecuali dengan wali”, bersifat umum sehingga siapa sahaja yang layak, maka dia termasuk dalam keumuman tersebut.

3. Wali adalah wajib dan yang berhak menjadi wali adalah ayah. Keumuman hadis “Tidak ada nikah kecuali dengan wali” dikhususkan oleh hadis berikutnya: “Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya maka pernikahan tersebut adalah batal.” Sabda baginda “…tanpa izin walinya…” menunjukkan wujudnya faktor keizinan dan tiada siapa yang memiliki peranan dalam faktor keizinan melainkan seorang ayah.

Pendapat yang terakhir adalah yang terkuat dan paling mendekati kebenaran. Hal ini bukan sahaja disebabkan gandingan antara kedua-dua hadis berkenaan wali, akan tetapi seluruh dalil al-Qur’an dan al-Sunnah berkenaan hak ibubapa terhadap anak-anak sepertimana yang telah dikemukakan dalam buku ini sejak awal. Oleh kerana itulah saya menyusun bab berkenaan hak ibubapa dalam pemilihan calon perkahwinan anak sebagai bab yang terakhir supaya para pembaca sekalian dapat menilainya berdasarkan keseluruhan dalil al-Qur’an dan al-Sunnah.

Sebahagian pembaca mungkin merasa berat untuk menerima pendapat ini kerana telah sekian lama terselesa kepada pendapat yang menyatakan tidak boleh memaksa anak menerima calon perkahwinan pilihan ibubapa. Malah ada segelintir yang berlebih-lebihan dalam hal ini dalam rangka membela hak wanita di hadapan aliran feminism masa kini. Mereka menganggap anak, khasnya anak perempuan, memiliki hak mutlak dalam menentukan calon perkahwinannya.

Yang benar adalah, ibubapa tidak boleh memaksa anak berkahwin dengan pasangan yang tidak disukainya. Pada waktu yang sama anak juga tidak boleh memaksa ibubapa menerima menantu yang tidak disukai mereka. Ringkas kata, anak dan ibubapa tidak boleh saling memaksa dalam persoalan ini. Sebaliknya perlu sama-sama suka dan redha.

[9] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5200 (Kitab al-Nikah, Bab seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya).

[10] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi
[11] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5090 (Kitab al-Nikah, Bab yang paling sesuai adalah pada agamanya).