BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, October 1, 2009

Ibubapa Menurut al-Qur’an.

Terdapat tiga ayat di dalam al-Qur’an yang saling berulang, yang dapat kita gunakan untuk mengetahui betapa besar kedudukan ibubapa dan betapa penting tuntutan untuk berbuat baik kepada mereka. Ayat-ayat tersebut adalah:

Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa. [al-Nisa’ 4:36][1]

Katakanlah: "Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibubapa.” [al-An’aam 6:151]

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. [al-Isra’ 17:23]

Demikian juga Luqman[3], apabila beliau menasihati anaknya, berbuat baik kepada ibubapa diletakkannya di tangga kedua selepas tauhid:Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya: “Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar. Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya.” [Luqman 31:13-14]

[3] Siapakah Luqman? Berkata Ibn Katsir: “(Para tokoh) generasi awal berbeza pendapat berkenaan Luqman, adakah beliau seorang Nabi atau seorang hamba shalih yang bukan nabi? Di antara dua pendapat ini, kebanyakan mereka cenderung kepada yang kedua (yakni seorang hamba shalih, bukan seorang nabi).” [Tafsir Ibn Katsir, (edisi Cdrom The Holy Qur’an v6.31; tafsir kepada ayat 12 surah Luqman)] Al-Qur’an dalam persoalan ini bersikap diam, kecuali sekadar menerangkan bahawa Luqman adalah seorang yang telah dikurniakan kebijaksanaan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Firman Allah: Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu. [Luqman 31:12] Apa yang tidak diterangkan oleh Allah dan Rasul-Nya, bererti ia tidak penting untuk diketahui oleh umat Islam. Maka tidak perlu kita membazir masa dan tenaga untuk mengkaji lebih dalam tentang persoalan ini atau apa-apa yang seumpama.